Monday, May 27, 2013

Umar Abdul Aziz Menangis Sebaik Ditabal Menjadi Khalifah


Umar Abdul Aziz Menangis Sebaik Ditabal Menjadi Khalifah


Nama sebenar Khalifah Umar bin Abdul Aziz ialah Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin al-Hakam bin Abu al-‘As bin Umayyah bin Abd Syams bin Abdul Manaf al-Qurasyi al-Umawiy. Ibu beliau ialah Ummu ‘Asim Laila binti ‘Asim bin Umar bin al-Khattab yang digelar Abu Hafs.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah dilantik menjadi khalifah melalui surat watikah pelantikan daripada Khalifah Sulaiman pada bulan Safar, tahun 99 Hijrah dan memegang tampuk pemerintahan selama dua tahun lima bulan iaitu menyamai pemerintahan Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

Umar bin Abdul Aziz seorang khalifah yang zuhud dan beliau wajar dicontohi oleh barisan kepimpinan dalam menjamin kesejahteraan serta keamanan negara. Ini kerana pemimpin yang zuhud lebih mengutamakan rakyatnya dan amanah sebagai seorang pemimpin.


Tugas pemimpin berat

Tugas sebagai seorang pemimpin amatlah berat, ibaratnya sebelah kaki ke neraka dan sebelah kaki lagi ke syurga. Sekiranya pemimpin itu menjalankan tugasnya mengikut suruhan Allah, iaitu berdasarkan al-Quran dan Sunnah, maka tempatnya adalah di syurga dan begitulah sebaliknya.

Imam al- Ghazali berpesan, yang paling ringan di dunia ini ialah meninggalkan solat, manakala yang paling berat di dunia ini ialah memegang amanah. Amanah itu akan disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak pada masa tiada lagi alasan yang boleh diberikan kerana mulut akan dikunci.

Apabila seseorang itu dilantik menjadi seorang pemimpin atau diberi jawatan, ia bukanlah lambang kepada kehormatan atau kemuliaan diri, bahkan satu bebanan berat yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT.

Disebabkan beratnya amanah sebagai pemimpin, ia mengundang tangisan Umar bin Abdul Aziz di saat beliau ditabal menjadi khalifah kerana beliau amat bimbangkan dirinya tidak mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin negara.

Menangis dilantik sebagai khalifah

Diriwayatkan daripada Humaidi katanya: “Setelah Umar bin Abdul Aziz ditabal menjadi khalifah, beliau pun menangis seraya berkata: “Wahai Qilabah! Adakah kamu tidak berasa bimbang mengenai diriku? Qilabah lalu bertanya: Apakah perasaan cinta dan keinginan tuan terhadap wang? Jawabnya: Aku langsung tidak menyukainya. Kata Qilabah: Oleh itu, tuan tak perlu berasa bimbang dan takut. Sesungguhnya Allah akan sentiasa memberi pertolongan kepada tuan.”

Daripada Abu Musa, katanya: “Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah! Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu Baginda bersabda: Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Baginda Rasulullah SAW menasihati sahabatnya ‘Abd ar-Rahman bin Samurah: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin, sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan, maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau akan dibantu.”

Sebagai pemimpin negara, hendaklah mereka mencontohi kejayaan pemerintahan tokoh-tokoh pada zaman silam dan sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin, hendaklah kita bijak memilih pemimpin.

Sumber: BHarian 

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

 
Design by Budak Redha Themes | Blogger by Budak Redha - Premium Blogger Themes | Budak Redha