Showing posts with label kematian. Show all posts
Showing posts with label kematian. Show all posts

Sunday, October 23, 2011

ADA APA SELEPAS MATI?

Tazkirah Nabi s.a.w. di hari pengkebumian

Seorang sahabat bernama al-Barra’ bin ‘Azib –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Suatu hari kamu keluar bersama Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- mengiringi jenazah seorang lelaki dari kalangan Ansar yang meninggal dunia. Ketika sampai di perkuburan dan jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, baginda duduk dan kami pun turut duduk di sekitar beliau. Di tangan baginda ada sebatang kayu. Baginda menggaris tanah dengan kayu itu, kemudian mengangkat kepalanya sambil berkata; “Hendaklah kamu sekelian memohon perlindungan Allah dari azab kubur”. Baginda mengulanginya dua atau tiga kali.
 
Seterusnya baginda berucap;

“Sesungguhnya seorang hamba yang beriman ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika ia hampir mati), akan turun kepadanya malaikat-malaikat dari langit, yang putih wajah mereka seumpama matahari, bersama mereka kain kapan dan bau-bauan (حنوط) dari syurga. Mereka duduk darinya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata kepadanya; ‘Wahai ruh yang baik! Keluarlah menuju kepada keampunan dari Allah dan keredhaanNya’. Maka keluarlah ruh itu di mana ia mengalir (keluar) umpama mengalirnya titisan air dari corong bekas air (yang dinamai as-Saqa’ dalam bahasa Arab).

Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan bersama-sama bau-bauan (yang di bawa oleh malaikat-malaikat tadi) dan terbitlah darinya bau yang amat harum umpama bau kasturi yang paling harum di atas muka bumi ini’. Setelah itu malaikat-malaikat tadi membawa ruh yang harum itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya; “Bau apakah yang amat harum ini?”. Malaikat-malaikat yang membawa ruh itu menjawab; “Ruh si fulan bin fulan”. Mereka menyebutnya dengan nama yang paling baik yang diberikan kepadanya di atas muka dunia. Apabila sampai di langit, para malaikat yang membawanya itu meminta supaya dibukakan pintu langit, lalu dibukakan.

Di setiap langit, ruh mukmin itu diiringi oleh malaikat penjaga langit untuk naik ke langit berikutnya hinggalah ia sampai langit ke tujuh. Maka datanglah firman Tuhan kepadanya; “Tulislah hambaku di dalam ‘illiyyin (tempat orang-orang mulia di dalam syurga) dan bawalah ia kembali ke bumi kepada tubuhnya kerana sesungguhnya darinya (yakni dari bumi/tanah) aku menjadikan mereka (yakni manusia), kepadanyalah aku akan kembalikan mereka dan darinya juga aku akan mengeluarkan mereka sekali lagi (yakni apabila berlakunya kiamat)”. Maka dikembalikanlah ruh itu kepada tubuhnya.

Kemudian datang dua orang malaikat kepadanya dan mendudukkannya (yakni menjadikannya duduk). Kemudian mereka bertanya kepadanya; ‘Siapa Tuhan kamu?’. Ia akan menjawab; ‘Tuhanku adalah Allah’. Mereka bertanya lagi kepadanya; “Apa agama kamu?”. Ia menjawab; “Agamaku adalah Islam”. Mereka bertanya lagi; “Siapa lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”. Ia menjawab; “Dia adalah Rasul Allah”. Mereka bertanya lagi; “Apakah ilmu kamu?”. Ia menjawab; “Aku membaca kitab Allah, lalu aku beriman dan membenarkannya”.

Lalu seorang penyeru berseru dari langit; “Benarlah apa yang dikatakannya itu. Hamparilah ia dengan hamparan dari syurga, pakaikanlah ia dengan pakaian dari syurga dan bukakanlah untuknya satu pintu ke syurga”. Maka sampailah kepadanya bauan dan haruman dari syurga dan dilapangkan untuknya kuburnya seluas mata memandang. Kemudian datang seorang lelaki yang elok rupanya, cantik pakaiannya dan harum baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang menyeronokkan kamu ini. Hari ini adalah hari yang telah dijanjikan untukmu”. Ia bertanya; “Siapakah kamu?. Kamu datang dengan wajah yang membawa kebaikan”. Lelaki itu menjawab; “Akulah amal soleh kamu”. Ia (yakni si mati yang beriman itu) lalu berkata; “Wahai Tuhanku! dirikanlah kiamat, dirikanlah kiamat, supaya aku mendapat kembali keluargaku dan hartaku”.

Adapun seorang hamba yang kafir dan jahat pula, pada ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika hampir mati), turun kepadanya malaikat-malaikat berwajah hitam membawa bersama mereka kain kapan yang buruk. Mereka duduk mengelilinginya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata: ‘Wahai ruh yang kotor, keluarlah kepada kemurkaan dari Allah dan kemarahanNya. Maka bertempiaranlah ruh pada jasadnya (seolah-olah hendak melarikan diri).

Lalu malaikat maut mencabut ruh itu (tanpa belas kasihan) seperti mencabut besi pemanggang daging dari kain bulu yang basah. Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan buruk tadi dan terbit dari ruh itu satu bau yang amat busuk seperti bau bangkai yang paling busuk di atas muka bumi ini. Kemudian malaikat-malaikat yang berwajah hitam tadi akan membawa ruh yang berbau busuk itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya; “Ruh siapakah yang busuk ini?”. Jawab para malaikat yang membawa ruh itu; “Ruh si fulan bin si fulan”, di mana mereka menyebutnya dengan nama yang paling buruk orang menamakannya di atas muka dunia dulu.

Apabila sampai ke langit dunia, para malaikat yang membawa ruh itu memohon dibukakan pintu langit, namun tidak dibuka. Lalu Rasulullah s.a.w. membaca firman Allah (bermaksud):
 
“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan yang angkuh dari mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit, dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk ke lubang jarum. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka). Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keengkarannya)”. (Surah al-A’raf, ayat 40)

Rasulullah bercerita lagi; “Kemudian Allah berkata (menyampaikan perintahNya berkenaan ruh itu); “Tulislah ia di dalam Sijjin (yakni penjara) di dalam bumi yang paling bawah”. Maka dilemparkanlah ruhnya itu dengan satu lemparan. 

Rasulullah lalu membaca firman Allah (bermaksud):
“Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan)”. (Surah al-Hajj, ayat 31)
Kemudian ruh itu dikembalikan kepada jasadnya di bumi. Setelah itu datang kepadanya dua malaikat. Mereka bertanya kepadanya; “Siapa Tuhan kamu?”. Ia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Apa agama kamu?”. Ia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Siapakah lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”. Ia menjawab sama seperti tadi; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”.

Lalu seorang penyeru berseru dari langit; “Hambaku telah berdusta. Hamparilah ia dengan hamparan dari neraka dan bukakan untuknya satu pintu ke neraka. Maka sampailah kepadanya bahang panas dari api neraka dan disempitkan baginya kuburnya hingga bersilang-silanglah tulang-tulang rusuknya. Kemudian datang kepadanya seorang lelaki yang hodoh mukanya, buruk pakaiannya dan busuk baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang mendukacitakan kamu ini. Hari ini adalah hari yang dijanjikan buatmu”. Ia bertanya; “Siapa kamu? Kamu datang dengan wajah yang membawa kejahatan”. Lelaki itu menjawab; “Aku adalah amalan kamu yang keji”. Akhirnya ia pun berkata; “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau dirikan kiamat”.

(Riwayat Imam Ahmad. Menurut Imam al-Haithami dalam Majma’ az-Zawaid; para perawi hadis ini adalah soheh (Majma’ az-Zawaid, 3/49). Menurut menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh (Misykat al-Masabih, hadis no. 1630))

                       Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Tuesday, October 18, 2011

Tanda-Tanda Kematian Untuk Orang Islam


Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.


Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika ImamAhmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.

Adapun riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan  menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.

Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.
Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.
Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu di mana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum.
Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

PENUTUP
Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran

 
Design by Budak Redha Themes | Blogger by Budak Redha - Premium Blogger Themes | Budak Redha