Daripada Anas (r.a), Katanya:
Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia
sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah ( kerana kedatangan
bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya
Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit
matanya pada bulan ini.
Kelebihan
bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang
dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan
darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul
Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping
sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
Berkata
Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari
bulan maka bacalah olehmu “AllahuAkbar” 3 kali, kemudian bacalah :
“(Segala
kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan
engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan
telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya
bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat!
saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka.”
atau dibacakan :
“(Ya
Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan
dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)”
Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!
Pada
malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta’ala akan Jibrail Alaihisalam
turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke
bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya
600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam
Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur
ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad,
Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul
Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang
duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan
sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga
terbit fajar subuh……. berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah
Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w) pada
bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada
umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka,
diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada
diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang
derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang
yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.
Apabila
pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari
raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri
turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan
suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata
mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat
mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang
berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah
umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai
malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai
kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya!
Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan
pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan
sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka
firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi
ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak
sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu!
(Al-Hadith).
Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
- Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah s.w.t.
- Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
- Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
- Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
- Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
Sabda Nabi (s.a.w) :
Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu
diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar
dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya
bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan
baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa
pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata
sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa
(berbuka puasa) ya Rasullullah – Allah memberi pahala ini kepada orang
yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang
siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan
Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi
kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala
orang berpuasa. (Al-Hadith).
Puasa
menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya,
diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah
dalam syurga.Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan
Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat
bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa
didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada
ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat
sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah
kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan
hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa
bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah
dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan
diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).
Orang
yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya
1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata
bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun
baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai
baginya . (Al-Hadith)
Pada
hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan
orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga,
lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala
macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada
anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan.
Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)
- Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya :Rahimakallah (Allah Mencucuri Rahmat kepada kamu.
- Apabila dia berdiri maka berdoalah hamparannya : (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani tebal kepadanya di dalam syurga)
- Apabila memakai kasut, berdoalah kasut (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
- Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
- Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)
- Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!
- Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya: ( Wahai Tuhanku cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)
- Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)
Malaikat yang banyak muka
bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud , satu muka
melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy ,
lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku , ampunlah umat Muhammad,
kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang berpuasa Ramadan dari
umat Muhammad! (Al-Hadith)
- Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
- Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
- Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
- Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
- Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
Ramadan, Ramada, ertinya : membakar – yakni menghapuskan dosa dosa orang yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti memberi jaminan (kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan ibadat kerana Nya pada bulan Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatul Qadar.
“Bahawa
di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di
dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat :
untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi
orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan,
bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah
malam sedang manusia banyak tidur.” (Al Hadith)
“Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan.” (Al Hadith)
“Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api.” (Al Hadith)
“Siapa
memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya
seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang
sedikitpun .” (Al Hadith)
Sabda
Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam
tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan
sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan
Allah, mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan
kejahatan, melainkan sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan
baginya segala dosanya, dan tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah
rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di
dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu
(yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( hurul
ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya indah yang
menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)
Sabda
Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan
mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta
tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan,
mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani)
(Al-Hadith)
Sabda Nabi
(s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan
hingga akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada
malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina
rumah baginya di dalam syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70
pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang
berpuasa pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya hingga ke akhir
bulan Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di
dalam syurga, mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun
baginya 70 000 malaikat dari pagi hingga tenggelam matahari (Al
Hadith)
Sabda Nabi (s.a.w)
: Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang
lainnya seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan (Al Hadith)
Barangsiapa
mengerjakan ibadat pada bulan Ramadan dengan keimanannya dan ikhlasnya
kerana Allah, maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (Al
Hadith)
Sabda Nabi (s.a.w)
: Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah
tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal
ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)
Apabila
berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya
bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda
daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun
taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan
yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia
yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang salihin, yang tidak
terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum
tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan,
kiranya dipanjangkan umur.
Apabila
berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan
tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan
berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala
malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat, maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith
Malam
Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turunnya padanya malaikat
Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah. Orang yang berjaga
dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang
terahsia itu yang tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang
solihin yang hampir, orang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan
berjaga malam pada sepuloh malam Ramadan yang terakhir maka diampunkan
tuhan segala dosanya. Di pahalakannya dengan banyak , dirahmatkannya
dengan limpah kurnia. Dan orang-orang solihin yang dikurniakan Allah
mendapat malam Lailatul Qadar itu satu keberuntungan kebahagiaan bagi
akhirat, mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan
Allah dalam hatinya, mendapat keredaan Allah dalam hidupnya dunia dan
akhirat.
Malam Aidilfitri,
malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir
“AllahuAkbar” sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak,
pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang
menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan
ibadatnya dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang
dimatikan segala hati.
Petikan dari buku Fadilat Rejab, Syaaban, Ramadan oleh Budiman Radhi
0 comments:
Post a Comment