Sunday, June 2, 2013

Pembahagiaan Harta Pusaka Menurut Hukum Faraid


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pembahagian harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta di dalam Islam. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisaa menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.

Merujuk kepada kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini yang telah menyatakan bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan ke atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang-barang gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang ditinggalkan, harta sepencarian, wakaf, nazar, hibah yang telah sempurna rukunnya tetapi belum dipindah milik, perbelanjaan pengebumian, hutang dan wasiat.

Setelah diselesaikan perkara-perkara tersebut barulah baki harta itu dibahagikan menurut hukum faraid.

Dalam kitab tersebut wasiat telah ditafsirkan sebagai pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberiannya sudah mati.

Pemberian wasiat orang Islam boleh diberikan dengan kadar tidak melebihi 1/3 bahagian sahaja. Wasiat yang melebihi kadar 1/3 adalah tidak berkuatkuasa kecuali mendapat persetujuan ahli waris yang lain atau kadar tersebut mesti dikurangkan sehingga sekadar 1/3 sahaja. Hukum Syarak juga telah menetapkan bahawa penerima harta pusaka melalui wasiat ini adalah seseorang yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris.

Apakah dia hukum Faraid?

Faraid ialah berasal daripada perkataan faradha (فرض), di dalam bahasa Arab yang bererti ketentuan atau kepastian. Jika yang dimaksudkan dengannya berkaitan dengan warisan atau harta pusaka, maka ertinya ialah bahagian yang telah ditetapkan mengikut hukum syarak untuk ahli waris.

Dengan itu, jika pengertian hukum dikaitkan dengan pengertian faraid, maka makna hukum faraid  ialah ketetapan yang diberikan Allah tentang kedudukan harta yang ditinggalkan oleh si mati atau hukum yang diberikan Allah dalam menangani pemerosesan pembahagian harta warisan kepada yang berhak.

Untuk mengetahui proses pembahagian yang telah ditetapkan ini, terdapat caranya atau kadarnya, siapa yang berhak menerimanya daripada kalangan ahli waris dan sebagainya, ialah melalui apa yang dinamakan ilmu faraid. Pengertian ilmu faraid menurut sebahagian ulama ialah suatu ilmu untuk mengetahui cara-cara pembahagian harta pusaka kepada yang berhak daripada kalangan ahli waris. (Mu 'jam Lughat AI-Fuqahd' h. 341).

Pembahagian harta warisan melalui cara yang terdapat di dalam ilmu faraid akan menghasilkan pembahagian yang seadil-adilnya kerana ia berdasarkan wahyu. Kadar dan bahagian masing-masing sebenamya telah ditetapkan oleh wahyu. Manusia atau pihak mahkamah misalnya, hanya berfungsi sebagai menunaikan perlaksanaan hukum Allah dalam perkara ini. Hukum atau tatacara pembahagian harta waris melalui faraid adalah wajib.

Ayat-ayat mengenai faraid ini banyak terdapat dalam al-Quran, begitu juga dalam hadis-hadis Nabi SAW.

Di antaranya ayat berikut:يوصيكم الله فى آولدكم ، للذكر مثل حظ الأنثيين فإن كن نسآء فوق أثنتين فلهن ثلثا ما ترك، وإن كانت وحدة فلها النصف.

Maksudnya: "Allah memerintahkan kamu mengenai pembahagian harta pusaka untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati.
Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja maka bahagiannya ialah seperdua (separuh harta itu)……"(sehingga akhir ayat). (Surah an-Nisaa ayat 11)

Dan hadis:عن ابن عباس رضى الله عنهما عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: اقسموا المال بين أهل الفرائض على كتاب الله تعالى.

Maksudnya: "Daripada Ibnu 'Abbas radhiallahu 'anhuma daripada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sabdanya: "Kamu bahagi-bahagikanlah harta (pusaka) di antara ahli fard 'idh (waris) berdasarkan Kitabullah. "(Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Di zaman permulaan Islam sebagaimana yang diceritakan oleh Jabir Radhiallahu 'anhu, bahawa seorang perempuan Uanda) iaitu isteri kepada Sa'ad bin Al-Ruba'i, datang kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam mengadukan perihal dua orang anak perempuannya hasil perkongsiannya dengan Sa'ad. Perempuan Uanda) ini berkata: "Wahai Rasulullah, dua orang ini adalah anak perempuan Sa'ad bin Al-Ruba'i, bapa mereka telah mati syahid semasa berperang bersamamu wahai Rasulullah di Uhud.

Kemudian bapa saudara mereka berdua telah mengambil harta mereka, dia tidak memberikannya kepada mereka walau sedikitpun dan kedua mereka ini tidak akan dapat berkahwin tanpa harta." Maka Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Allah akan memberi keputusan hukum mengenainya."Tidak berapa lama kemudian turunlah ayat 11, surah AI-Nisa' yang telah disebutkan sebahagiannya di atas.

Setelah itu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengirim utusan kepada bapa saudara kedua anak perempuan itu untuk memaklumkan pesanan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud: "Berikan kepada dua anak perempuan Sa'ad 2/3 dan kepada ibunya 1/8, manakala bakinya untukmu." (Hadis Jabir ini diriwayatkan oleh ahli hadis yang lima kecuali Nasa'i).

Berdasarkan ayat dan hadis Jabir di atas, adalah wajib membahagikan harta waris mengikut bahagian yang telah ditetapkan dalam faraid dan cara inilah yang paling baik bagi mencapai keadilan yang sebenar.Setiap yang wajib itu akan mendapat pahala jika dilakukan dan mendapat seksa jika ditinggalkan.

Sebagaimana yang telah disebutkan bahawa hukum faraid hanya membicarakan harta pusaka yang ditinggalkan oleh orang yang meninggal, maka yang dikira sebagai harta pusaka ialah semua harta yang dimilikinya secara sah sehingga dia meninggal.Sebaik saja dia meninggal, semua harta peninggalannya sudah dikira sebagai hak milik para ahli warisnya.

Tetapi sebelum menjadi milik ahli waris secara sab dan sempurna, ada lima perkara yang perlu dilakukan, yakni harta waris akan diproses menerusi hukum faraid melalui cara berikut:

Pertama : Perkara yang mula sekali perlu (bahkan wajib) diperhatikan ialah tentang kedudukan harta waris itu sendiri daripada segi hak dan kaitannya dengan perkara-perkara lain seperti zakat, nazar, kaffarah, haji, gadaian, denda hukum, hutang kepada Allah dan sebagainya. Dengan demikian, jika zakatnya belum dikeluarkan, maka wajib dikeluarkan. Jika sebahagiannya juga ada diperuntukkan untuk nazar oleh si mati, maka wajib ditunaikan.

Jika antara harta itu terdapat gadaian juga wajib ia diasingkan. Jika ada hutang si mati kepada Allah, maka bayarlah hutang itu. Jika semasa hidupnya sudah wajib dia menunaikan haji, tetapi dia tidak pergi menunaikannya, maka wajib juga diasingkan untuk keperluan menghajikannya (upahkan haji untuknya), begitulah seterusnya

Kedua : Setelah cara pertama yang di atas dapat disempurnakan, maka baki harta itu diperuntukkan pula untuk perbelanjaan perlaksanaan fardu kifayahnya, seperti membeli kain kafan dan keperluan pengkebumiannya menurut yang selayaknya.

Ketiga : Kemudian bakinya yang masih ada dikeluarkan untuk melunaskan segala hutangnya kepada orang lain, iaitu hutang yang sabit mengikut pengakuannya semasa hidup atau yang sabit melalui bukti-bukti yang diperakui kerana hutang itu wajib dibayar bagi pihak si mati.

Keempat : Daripada baki harta itu lagi dibayarkan (diasingkan) pula untuk keperluan wasiatnya jika ada, iaitu tidak lebih daripada 1/3 (sepertiga) daripada baki harta yang ada setelah perkara-perkara di atas diselesaikan.

Sekiranya dia mewasiatkan semua atau sebahagian hartanya, maka wasiat ini tidak diterima, tetapi cukup dikeluarkan 1/3 (sepertiga) sahaja untuk wasiatnya itu.

Kelima : Baki harta yang masih ada selepas empat perkara di atas dilakukan, maka itulah dia harta waris yang menjadi milik semua ahli waris yang berhak.Itulah juga harta yang dimaksudkan di dalam hukum faraid yang wajib dibahagi-bahagikan kepada semua ahli waris yang berhak, sesuai dengan kadar bahagian masing-masing. (Nihayah AI-Zain h. 281)

Sahabat yang di muliakan,
Telah menjadi amalan umat Islam bahawa apabila simati meninggal dunia maka waris akan membuat kenduri tahlil untuk mendoakan simati  . Waris-waris perlu ingat bahawa sekiranya mereka bercadang mengadakan majlis tahlil perlulah menggunakan wang poket masing-masing dan jangan digunakan wang peninggalan  simati kerana hak-hak yang wajib ditunaikan (5 perkara) di atas belum diselesaikan.

Adalah jelas di sini waris- waris tidak boleh memakan harta simati sebelum di tunaikan hak-hak simati dan dibuat pembahagian dengan ahli-ahli waris yang lain secara faraid.

Orang yang berhak kepada harta waris hanyalah orang-orang yang disebut sebagai ahli waris yang terdiri daripada pihak lelaki dan perempuan, seperti berikut:

Daripada pihak lelaki:

1. Anak lelaki
2. Anak lelaki daripada anak lelaki (cucu).
3. Bapa.
4. Datuk
5. Saudara lelaki seibu sebapa (saudara kandung)
6. Saudara lelaki sebapa
7. Saudara lelaki seibu
8. Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa
9. Anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa
10. Bapa saudara yang seibu sebapa dengan bapa
II. Bapa saudara yang sebapa dengan bapa
12. Anak lelaki daripada bapa saudara yang seibu sebapa
13. Anak lelaki daripada bapa saudara yang sebapa dengan bapa
14. suami
15. Orang yang memerdekakan hamba sahaya (bekas tuannya).

Daripada pihak perempuan:

1. Anak perempuan
2. Anak perempuan daripada anak lelaki
3. Ibu
4. Nenek perempuan daripada pihak ibu
5. Nenek perempuan daripada pihak bapa
6. Saudara perempuan seibu sebapa
7. Saudara perempuan sebapa.
8. Saudara perempuan seibu
9. Isteri.
10. Perempuan yang memerdekakan hambanya

Sahabat yang dikasihi,
Nabi SAW menggalakkan umatnya supaya membuat wasiat melalui sabdanya: "Tidak patut bagi seseorang muslim yang ingin berwasiat tidur selama dua malam, selagi ia tidak menulis wasiatnya disisinya".(Muttafaqun Alaihi)

Pengurusan harta sebagai bekalan kehidupan diakhirat mesti diurus dan dirancang semasa hidupnya lagi. Sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Baginda telah mengarahkan sahabat yang ingin pergi berperang agar mewasiatkan hartanya kepada orang lain. Ia bertujuan agar segala harta dan tanggungjawab yang akan ditinggalkan , sekiranya dia syahid di medan peperangan, dapat diurus dengan baik dan sempurna.

Sesungguhnya Islam telah menyusun,mengatur sistem dan kaedah terbaik bagi umatnya mengurus harta pusaka. antaranya adalah melalui kaedah wakaf, sedekah, hibah, faraid dan wasiat.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya :
"Allah telah memberikan bahagian setiap orang yang berhak, maka tiada wasiat untuk warisnya".
(Hadis Riwayat At-Tarmizi)

Wasiat hanya boleh dilaksanakan kepada selain daripada mereka yang layak mendapatkan bahagian harta mengikut hukum faraid. Wasiat dan hutang si mati hendaklah dijelaskan dahulu sebelum harta si mati dibahagikan mengikut faraid.

Menurut ulamak feqah, wasiat hanya boleh dilaksanakan tidak lebih 1/3 daripada harta si mati. Manakala hutang pula hendaklah dilunaskan sepenuhnya oleh warisnya jika harta peninggalan si mati tidak mencukupi.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam untuk membuat wasiat dan menuliskannya dan diserahkan kepada satu "badan pemegang amanah" yang akan di pertanggungjawabkan untuk  membantu menyelesaikan harta pusaka menurut hukum faraid.

9 comments:

kyairolzamri sariat said...

Sy dah bc dan sy mendpt pengetahuan dr tulisan saudara, terima kasih banyak banyak.

Alex Bohanx said...

anak laki bawaan dari suami pertama berhak mendapat warisn

RICHARD iyabu said...

apakah warisan yg ditinggalkan oleh ibu yg diperoleh dari suaminya ,selain anak kandungnya apakah anak tirinya juga sebagai ahli waris ???

NuansaYara said...

Assalamualaikum,

Saya ingin berkongsi isu faraid dalam keluarga saya. Saya dan 2 adik lelaki saya merupakan anak angkat (tiada hubungan persaudaraan) dengan ibu dan bapa kami. Dari lahir sehingga la dewasa kami memang tidak mempunyai keluarga lain kecuali keluarga angkat kami. Pada tahun 2001, bapa angkat saya meninggal dunia (serangan jantung). Ketika itu saya berusia 13 tahun, adik kedua 10 tahun dan bongsu berumur 2 tahun. Disebabkan mak angkat saya tidak mempunyai anak kandung, semua harta perlu difaraidkan dengan nenak dan 5 adik beradik bapa saya. Mak saya merayu ihsan daripada semua adik beradik bapa angkat saya untuk menyerahkan harta kepada kami sekeluarga kerana kami masih lagi kecil dan bersekolah. Masing2 mendiamkan diri dan kami faham mereka hendakkan hak mereka. Maka kami serahkan harta2 ayah kami dan mak terpaksa menanggung kami dengan apa yang ada pada masa itu. Hanya ada seorang pakcik sahaja (abg kepada ayah) yang mengambil berat tentang keluarga kami, tapi dia sendiri ada komitmen dengan keluarga. Yang lain meneruskan hidup seperti biasa tanpa bertanyakan khabar tentang kami adik beradik. Sejak dari hari itu, hubungan persaudaraan semakin renggang kerana mak berkecil hati dengan sikap adik beradik bapa saya. Alhamdulillah, kami semua telah menginjak dewasa dan masih dapat melangsungkan kehidupan dengan bahagia. Semoga Allah memberkati hidup kami dan memaafkan segala kesilapan kami jika termakan sebarang harta peninggalan bapa angkat kami. Kami mendoakan arwah ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Walaupun arwah hanyalah bapa angkat kami, kami menganggap arwah seperti bapa kandung sendiri.

Unknown said...

saya nak tanya satu soalan...ayah saya adac2 isteri,satu ibu saya..isteri kedua baru 8 tahun..harta2 ayah saya macam tanah dari hasil dengan mak saya..mak dan atah saya dah menimggal tahun lepas..adakah dia berhak dapat tanah dari hasil percarian ibu saya..

Dino Alfonso said...
This comment has been removed by the author.
Dino Alfonso said...

Saya ada 8 adik beradik seibu sebapa.Saya masih bujang.Bolehkah saya beri harta saya pada orang lain seperti sahabat sahabat saya yang menjaga saya selepas ibubapa saya meninggal dunia.
Saya ingin memberi pada sahabat saya disebabkan harta pusaka ibubapa saya , adik beradik saya tidak amanah dan tidak jujur.Mereka tidak mengangihkan ikut hukum faraid.Saya tidak diberi apa apa pun dan ditinggalkan sendiri tanpa tempat tinggal.Rumah ibu saya dijual.
Wang penjualan diagih pada abang dan kakak saya tapi tidak diberi pada saya.
Bolehkah harta saya beri pada sahabat saya untuk uruskan dan tidak mahu beri harta pada adik beradik saya?

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

 
Design by Budak Redha Themes | Blogger by Budak Redha - Premium Blogger Themes | Budak Redha