Monday, August 15, 2011

6 Taktik Kotor Syaitan Menyesatkan Manusia

Alhamdulillah terbuka hati hari ini ingin berkongsi artikel yang dibaca semalam berkenaan dengan enam taktik kotor syaitan oleh Ustaz Abdullah Yasin, semoga beliau dicucuri rahmat dalam kehidupan seharian dalam mencari keredhaanNya di dunia dan akhirat. Semoga artikel ingin dalam memberi peringatan dan manfaat kepada kita semua. Artikel beliau seperti berikut :

قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2) إِلَهِ النَّاسِ (3) مِنْ شَرِّ الوَسْوَاسِ الخَنَّاسِ (4) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6) 

Katakanlah : Aku berlidung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia.   Raja manusia. Sembahan manusia. Dari kejahatan wasawas (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi,  Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia,  dari (golongan) jin dan manusia. ( Al-Naas : 1-6)
Pengajaran Surah :
1.      Dalam ayat diatas Allah SWT menyuruh Nabi-Nya dan umatnya agar memohon perlindungan kepada Allah, Tuhan yang mencipta manusia, memilikinya, yang wajib disembah oleh manusia –  ( الخَنَّاسِ مِنْ شَرِّ الوَسْوَاسِ ) : daripada kejahatan wasawas (bisikan) Al-Khannas. Siapakah Al-Khannas ? Makna asal Al-Khannas adalah sesuatu yang tersembunyi atau sesuatu yang datang dengan cepat dan pergi dengan cepat. Akhirnya para mufassirin mengartikan Al-Khannas dengan Syaitan, sebab karakter atau tabiat syaitan segera pergi dari manusia jika manusia ingat kepada Allah dan datang dengan cepat jika manusia itu sedang lalai atau leka dari mengingati Allah. Bisikan halus ada tiga jenis, iaitu : 1. Wahyu : Bisikan halus Malaikat kepada para Nabi atau para Rasul ; 2. Ilham : Bisikan Malaikat kepada umat manusia biasa ; 3. Waswas : Bisikan halus Syaitan kepada umat manusia. Target utama syaitan adalah hati manusia. Itu sebabnya disebut “ dalam dada manusia “. Selanjutnya Allah SWT menyatakan pada akhir ayat bahawa Syaitan itu ada dua jenis, iaitu syaitan jenis jin dan syaitan jenis insan.

2.      Imam Ibnu Al-Qayyim ketika menjelaskan maksud Wasawas Al-Khannas di dalam Tafsirnya “ Tafsir Al-Qayyim “ bahawa Syaitan berusaha keras untuk menggoda  umat manusia anak cucu Adam agar menyimpang dari jalan Allah SWT yang lurus. Syaitan tidak lekas putus asa. Langkah demi langkah dilaluinya dengan tabah. Jika langkah pertama tidak berhasil maka dia akan berpindah ke langkah kedua, begitulah seterusnya. Menurut Imam Ibnu Al-Al-Qayyim : Ada Enam Taktik Kotor Syaitan dalam usahanya menggoda mansia, iaitu : 1. Kufur atau Syirik ; 2. Bid’ah ; Kabaair ; 4. Shaghaair ; 5. Mafdhuul ; 6. Mubah. Maksudnya : Syaitan akan terus menerus berusaha agar manusia jauh daripada Jalan Allah. Taktik Kotor ini diawali dengan dosa yang paling berbahaya iaitu Kufur atau Syirik. Demikianlah keduanya Dosa Bid’ah. Mengapa Syirik dan Bid’ah menjadi target utama syaitan ? Syaitan sungguh bijak !!! Sebab dia sangat tahu bahawa ada dua syarat utama amal soleh atau suatu ibadat itu diterima, iaitu : 1. Tauhid atau Ikhlas semata-mata kerana Allah jika beribadat ; 2. Amalan tersbut mestilah dilakukan mengikuti cara atau kaifiyat Rasulullah SAW. Ikutilah penjelasan berikut !

3.      1. Kufur atau Syirik : Usaha pertama Syaitan, jika boleh semua manusia menjadi kufur atau murtad agar mereka  boleh bersama-sama dia di dalam neraka kelak. Jika tidak mampu mengkafirkan manusia, maka dia tidak putus asa tetapi dia sudah berpuas hati jika manusia tersebut melakukan syirik. Apa sebabnya ? Sebab syirik dapat membinasakan semua amalan soleh umat manusia. Allah berfirman : Jika kamu terlibat syirik niscaya hancur musnah segala amalan kamu, dan kelak kamu pasti termasuk golongan orang yang merugi. ( Al-Zumar : 65 ) ; 2. Bid’ah : Jika usahanya gagal mengkafirkan manusia atau terlibat syirik, maka usaha keduanya mendorong manusia membuat perkara bid’ah. Syarat amal ibadat diterima mestilah mengikuti cara Rasulullah SAW. Rasul SAW bersabda : Siapa yang beramal tidak mengikuti cara kami, maka amalnnya ditolak. (HR Muslim). Dua syarat inilah sebenarnya yang terkandung di dalam Dua Kalimah Syahadat. Setelahnya menyusul ibadat-ibadat Solat, Puada, Zakat, Haji. Ini memberi isyarat bahawa semua amal soleh atau ibadat, tidak akan diterima oleh Allah jika tidak memenuhi dua syarat itu.

4.      3. Kabaair : Maksudnya ialah dosa-dosa besar lainnya selain Syirik dan Bid’ah seperti minum arak, berjudi, membunuh, berzina dan lain-lain. Godaan ini menurut urutannya terletak pada godaan ketiga, ini memberi isyarat bahawa inplikasi atau kesan syirik dan bid’ah adalah lebih berbahaya pada diri seseorang jika dibandingkan dengan dosa-dosa besar lainnya. Untuk menguatkan lagi pendngan ini renunglah kata-kata Imam Al-Syafii Rahimahullah ini : Bid’ah dalam hal agama adalah lebih berbahaya dari dosa-dosa besar lainnya. Sebab orang yang minum arak, berjudi, berzina biasanya mereka mengetahui bahawa perbuatan itu terkutuk dan berdosa. Oleh itu, tidak mustahil suatu hari nanti, dia akan bertaubat kepada Allah diatas dosa-dosanya itu. Tetapi lain halnya dengan orang yang melakukan bid’ah !!! Biasanya pembuat bid’ah sentiasa mendakwa bahawa amalan bid’ah yang mereka tambah dan reka-reka baru itulah yang terbaik. Jika demikian halnya dan anggapannya, maka jangan haraplah mereka akan bertaubat dari dosa bid’ah. Malahan jika sampai mendakwa bahawa penambahan amalan (yang tidak ada dasar atau asasnya dari Nabi SAW ) itu membuat amalannya menjadi lebih baik disisi Allah, maka secara tidak langsung (indirectly) dia mendakwa bahawa amalan Rasulullah SAW masih kurang sempurna.

5.      4. Shaghaair : Maksudnya ialah dosa-dosa kecil.  Jika manusia tidak dapat digoda melalui syirik, bid’ah dan kabaair maka syaitan masih belum berputus asa dan berusaha melalui dosa-dosa kecil, seperti memandang perkara haram, bercumbu-cumbuan, berkhalwat yang tidak sampai ke derjat berzina dan lain-lain. Dan jika langkah ke empat ini juga tidak berhasil maka syaitan akan mendorong manusia tersebut melakukan perkara mafdhul. 5. Mafdhul. Maksudnya : Amalan-amalan yang kurang afdhal. Kalau solat berjamaah adalah afdhal (lebih baik) jika dibandingkan dengan solat sendirian, maka syaitan akan menyuruh manusia solat sendirian. Dihalangnya manusia solat wajib di masjid dan mendorongnya agar solat saja di rumah masing-masing. Jika langkah ini juga tidak berhasil sebab manusia tersebut gemar melakukan perkara yang afdhal, maka usaha syaitan yang terakhir ialah menggalakkan manusia menyibukkan diri dengan perkara-perkara mubah. 6. Mubah : Maksudnya perkara-perkara yang tidak memberi apa-apa faedah, apakah faedah dunia atau faedah akhirat. Contoh : Menghabiskan masa menjelang berbuka puasa bersama cucu di depan TV menonton karton. Walaupun – barangkali – ia tidak membawa dosa, namun demikian sebenarnya syaitan telah berjaya menggoda manusia dengan cara melekakan manusia dengan perkara-perkara yang mubah, sebab yang penting bagi syaitan ialah asalkan manusia tidak menambah bekalan akhiratnya, walaupun ketika itu mereka tidak melakukan dosa.

6.      Dari penjelasan diatas, nyatalah bagi kita bahawa Syaitan sungguh bijak. Dia tahu bagaimana cara yang paling tepat dan berkesan untuk membinasakan umat manusia anak cucu Adam. Dia sangat tahu apakah syarat utama agar amalan manusia diterima oleh Allah sebagai amal soleh dan seterusnya membawa mereka ke syurga. Syarat itu ialah : 1. Ikhlas atau Tauhid ; 2. Ittiba’ atau mengikuti cara amalan Rasulullah SAW. Pada mulanya kerja syaitan ialah menghalang manusia beramal soleh atau beribadat. Tetapi jika manusia enggan mematuhi godaannya lalu mereka rajin beribadat, maka syaitan akan ambil jalan pintas, bagaiaman agar amalan mereka ditolak atau tidak diterima oleh Allah. Taktik kotor lagi halus syaitan ini tidak disadari oleh kebanyakan manusia, malahan juga tidak disadari oleh sesetengah ulamak dan para pendakwah. Itu sebabnya Rasulullah SAW pernah menyatakan kebimbangan baginda tentang kemunculan imam-imam yang menyesatkan pada akhir zaman : “ Sesungguhnya yang paling aku takuti menimpa umatku adalah kemunculan iman-iman yang menyesatkan “. (HR Tarmidzi).

7.      Topik ini saya tulis pada Hari Isnin, Hari Pertama Bulan Ramadhan 1432H – 2011M menjelang solat Zuhur di Masjid Al-Haram Makkah Al-Mukarramah – sekali-kali tidak bermaksud menuduh mana-mana pihak – tetapi sekedar membuka minda umat yang terkadang terlalu ta’assub dan fanatik kepada sesetengah Imam atau Tuan Guru. Marilah kita sama-sama merenung, apakah sudah muncul dalam masyarakat kita hari ini apa yang dibimbangi oleh baginda Rasulullah SAW tersebut. Firasat peribadi saya berkata seakan-akan sudah muncul apa yang ditakuti Rasulullah SAW itu atas sebab-sebab berikut : A. Rukun Islam pertama “ Dua Kalimah Syhadat “ kurang didalami oleh umat Islam sekarang, apakah tentang rukun syaratnya atau perkara yang boleh membatalkannya. Hal ini berbeza dengan minat yang mereka tumpukan terhadap rukun-rukun Islam lainnya seperti solat, puasa, zakat, haji, umrah dan lain-lain. B. Jika ada imam atau ustaz atau pendakwah yang berusaha mendedahkan kepada umat tentang betapa pentingnya Tauhid dan Ikhlas, dan betapa bahaya Syirik dan khurafat atau betapa pentingnya Ittiba’ mengikuti Sunnah Rasul SAW, dan betapa bahaya bid’ah dalam beribadat kepada Allah, maka kita akan menyaksikan penentangan yang luar biasa kerasnya sambil melontarkan tuduhan dan fitnah serta gelaran yang menakutkan kepada pendakwah atau ulama tersebut seperti Wahhabi, Terroris, Kaum Muda, Songsang dan lain-lain.  Na’uudzu Billah Min Dzaalik. 

NOTE : Semoga makalah ini dapat turut menolong menjernihkan keadaan yang semakin kusut. Sebenarnya Allah SWT telah menegaskan bahawa cara yang paling tepat dan berkesan bagi Umat Akhir Zaman untuk menyelesaikan kekusutan dan perbezaan pendapat sesame mereka ialah dengan merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Sila lihat ayat 59 Surah Al-Nisaa’. Rasulullah SAW bersabda : Aku tinggalkan untukmu dua perkara, selama kamu berpegang kepada kedua-duanya, maka kamu tidak akan sesat untuk selama-lamanya, iaitu Al-Quran dan Sunnahku. (HR Al-Hakim dan Imam Malik dalam Al-Muwatta’)

kredit kepada Ustaz Abdullah Yasin
src : https://www.facebook.com/notes/abdullah-yasin/enam-taktik-kotor-syaitan-035/199281050128320

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

 
Design by Budak Redha Themes | Blogger by Budak Redha - Premium Blogger Themes | Budak Redha